BELURAN: Seorang warga emas ditemui meninggal dunia dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Trusan Sapi, Kampung Bakong-Bakong Sapi, di sini, hari ini.
Mangsa berusia 62 tahun itu dikatakan mandi di sungai berkenaan seorang diri pada kira-kira jam 8 malam Ahad lalu, namun tidak pulang ke rumah selepas itu.
Usaha mencari yang dilakukan ahli keluarga mangsa dan penduduk kampung gagal menemui mangsa sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 10.19 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 74 kilometer untuk membantu.

“Usaha mencari oleh penduduk kampung menggunakan bot juga telah dibuat dalam lingkungan jarak satu kilometer dari tempat mangsa mandi.
“Mangsa akhirnya ditemui penduduk kampung dalam keadaan tidak sempurna kira-kira meter dari mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 2 petang. – Info X