Search

BIGoNS perkukuh kepakaran bersama SPRM dalam bidang rasuah kewangan dan krisis komunikasi

November 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS) terus memperkukuh usaha pencegahan rasuah dan pengurusan persepsi awam melalui sesi perkongsian kepakaran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Sesi itu menampilkan dua wakil SPRM iaitu Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff yang berkongsi pengalaman dan pendekatan masing-masing dalam bidang jenayah rasuah kewangan serta pengurusan krisis komunikasi.

Mohd Azwan berkata, pendekatan forensik kewangan wajar diterokai oleh BIGoNS sebagai langkah strategik dalam memperluas skop pengesanan rasuah.

“Walaupun bukan keperluan utama ketika ini, melatih pegawai dalam bidang ini mampu membuka ruang baharu dalam usaha pencegahan rasuah kewangan,” katanya.

Sementara itu, Hisyam menekankan peranan unit integriti dalam membantu membina keyakinan masyarakat melalui pengurusan komunikasi yang berkesan.

“BIGoNS bukan sekadar melaksanakan pengesahan isu integriti, tetapi juga berperanan dalam merancang program pencegahan dan menyampaikan naratif yang tepat kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua BIGoNS, Samsakiah Jamil, menyambut baik perkongsian berkenaan dan menyifatkannya sebagai pemangkin kepada kerjasama strategik antara kedua-dua agensi.

“Kaedah pembetulan yang dikongsikan SPRM sangat relevan dan mampu memastikan BIGoNS kekal signifikan dalam menyokong agenda integriti negeri,” katanya.

Dalam sesi yang sama, Samsakiah turut berkongsi perancangan BIGoNS bagi meningkatkan lagi kerjasama strategik melalui penganjuran program dan kepelbagaian inisiatif antirasuah bersama SPRM sebagai tanda komitmen berterusan menjadikan integriti sebagai budaya pentadbiran.

Turut hadir, Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri Sabah, Awang Samsul Baharam Bungso. – Info X