KOTA KINABALU: UPKO hari ini secara rasmi keluar dari Pakatan Harapan (PH) untuk bergerak sendiri sebagai sebuah parti politik tempatan Sabah.
Keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Ewon Benedick.
Menerusi satu kenyataan, Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson Angang berkata, keputusan itu dibuat setelah menimbang semula penyertaannya dalam PH.
“Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan Sabah dimulakan melalui pilihanraya ini, maka Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk mengundur diri dari PH serta-merta.
“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya dua Ahli Parlimen UPKO, iaitu Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Madius Tangau akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk mengekalkan kestabilan Kerajaan Persekutuan hingga ke akhir penggal.
Terdahulu, beliau berkata Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO diadakan bagi membincang agenda Sabah First yang menjadi asas perjuangan dan halatuju kepimpinan UPKO.
“Mesyuarat khas ini menyokong sepenuhnya keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman berkaitan hak 40 peratus Sabah yang difailkan oleh Sabah Law Society.
“Sepanjang tempoh empat tahun berada dalam PH, UPKO telah menjadikan agenda Sabah First dalam perundingan berkaitan manifesto pilihan raya PH dan juga perbincangan dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang diketuai oleh Pengerusi PH.
“Bagaimanapun, sepanjang tempoh ini, berlaku jurang intepretasi, pandangan dan pendirian di antara UPKO dan parti-parti komponen PH di peringkat nasional mengenai tuntutan pelaksanaan hak hasil 40 peratus Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah,” katanya.
Nelson berkata, kepengerusian PH Sabah oleh UPKO melalui Mesyuarat Agung PH Sabah juga tidak pernah diselesaikan oleh Majlis Presiden PH susulan bantahan daripada PKR Sabah.
Malah, katanya UPKO turut menerima kecaman terbuka walaupun keputusan dibuat melalui pemilihan yang dikendalikan oleh pentadbir dari Ibu Pejabat PH.
“Presiden UPKO kemudiannya hanya dilantik sebagai ‘coordinator’, tetapi keputusan-keputusan berkaitan persiapan pilihan raya oleh PH diputuskan oleh PKR tanpa autonomi sebenar oleh PH Sabah, bercanggah dengan apa yang telah diumumkan.
“UPKO menilai semula halatuju perjuangan dan kami menyimpulkan ‘hanya parti-parti tempatan Sabah sahaja yang betul-betul memahami denyutan nadi, jiwa, wawasan, impian masa depan Sabah’ berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya hak 40 peratus,” katanya.
Nelson berkata, UPKO kekal dengan pendirian bahawa hak 40 peratus Sabah adalah berasingan daripada tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Senarai Persekutuan (Federal List).
Jelasnya, UPKO bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar MA63 seperti hak 40 peratus dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.
“UPKO juga berpendirian bahawa hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus dijayakan tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan (MA63),” katanya. Info X