Search

DARI GURU PEDALAMAN KINI DIIKTIRAF PERINGKAT ANTARABANGSA

June 3, 2022

admin

KOTA KINABALU: Walaupun mengajar di kawasan pedalaman Sabah namun kejayaan merangkul Anugerah Cambridge Dedicated Teacher Award 2022 meletakkan nama Mohd Al Khalifa Mohd Affnan sebagai guru pertama di Malaysia dan Asia diberikan pengiktirafan seumpama itu.

12 tahun mengajar di Kolej Vokasional Keningau, Mohd Al Khalifa berkata, dia awalnya tidak menyangka dicalonkan di dalam anugerah bertaraf antarabangsa itu kerana pencalonan dibuat oleh bekas pelajarnya.

“Awal anugerah itu membabitkan 7,000 pencalonan seluruh dunia yang kemudiannya disenarai pendek kepada 60 peserta terbaik.

“Selepas itu, penilaian dibuat sekali lagi sebelum hanya enam finalis dipilih untuk proses pengundian secara dalam talian.

“Kemudiannya, penganjur membuka undian kepada seluruh dunia untuk mengundi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2022.

“Pihak Cambridge University Press memaklumkan saya telah mendapat undian majoriti sebanyak 26 peratus daripada undian keseluruhan sekaligus dinobatkan pemenang anugerah ini.

“Saya juga adalah pemenang bagi bulan April bagi bahagian Asia Tenggara, New Zealand dan Australia,” katanya ketika ditemui Info X, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai kemenangannya itu, Mohd Al Khalifa menyatakan dirinya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran anugerah sepanjang bergelar guru namun bersyukur ada pihak yang nampak usahanya ke atas pelajar di kawasan pedalaman serta pelajar berkeperluan khas di dalam pendidikan berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) selain melatih pelajar dalam ronotik, dron, pengekodan serta disiplin berasaskan teknologi.

“Pelajar Kolej Vokasional Keningau tempat saya mengajar tidak berapa diberi pendedahan mengenai teknologi STEM disebabkan kami lebih kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Bagaimanapun, saya mula membawa kepada pembaharuan untuk mengetengahkan STEM selepas mengikuti program pertukaran guru ke Korea pada 2017.

“Saya bawa teknologi dron dan robotik selain ilmu-ilmu serta pertukaran budaya dari Korea ke Malaysia khususnya kepada pelajar. Mungkin penilai atau pengundi membuat pemilihan selepas melihat usaha saya itu,” katanya. – Info X