Search

TIADA TARIKH TAMAT BERKAITAN MoU TRANSFORMASI DAN KESTABILAN POLITIK – ANNUAR MUSA

June 3, 2022

admin

KOTA KINABALU: Tiada tarikh tamat tertentu berkaitan perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mengenai sokongan pembangkang ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu dijelaskan oleh Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU berkenaan, Tan Sri Annuar Musa.

“MoU itu tidak tamat. Banyak pihak yang salah faham mengenai MoU terbabit yang kononnya akan tamat pada penghujung Julai depan.

“Perkara yang mempunyai tarikh itu adalah pilihan raya dipersetujui tidak akan diadakan sebelum akhir bulan Julai.

“Manakala MoU di antara ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang dengan kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak mempunyai tarikh tamat.

“Ia merupakan suatu MoU memberi sokongan ke atas Perdana Menteri sehinggalah Parlimen dibubarkan. Fakta itu harus difahami.

“Apabila Parlimen dibubarkan, terpulang kepada Perdana Menteri serta pimpinan politik untuk menentukan pilihan raya umum (PRU),” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Welcoming Dinner Sempena Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK).

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yaakub Khan.

Sementara itu, Annuar juga bersetuju agar PRU tidak diadakan terlalu lewat bagi mengelakkan pihak-pihak yang bersaing dengan Barisan Nasional (BN) mendapat kelebihan.

“Bagaimanapun, dalam masa sama PRU juga tidak boleh dibuat terlalu awal sekiranya kita masih belum dalam keadaan siap siaga.

“Hal ini yang membuat saya sependapat dengan presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri yang bersetuju PRU perlu disegerakan tetapi tidak perlu dilewatkan sebaik sahaja kita bersedia,” katanya. – Info X