KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggariskan usaha menggandakan pendapatan negeri hingga mencecah sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun menjelang 2030 jika gabungan itu kembali membentuk kerajaan.
Akujanji itu adalah perkara pertama digariskan di bawah Rukun Ketiga: Sabah Prosper dalam Manifesto GRS bagi PRU Sabah Ke-17 yang dilancarkan Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada Isnin.
Perkara itu menjelaskan mengenai komitmen GRS merintis usaha menggandakan penjanaan kutipan hasil negeri mencecah sasaran RM10 bilion.
Di bawah rukun yang sama, GRS menegaskan komitmennya untuk menyelesaikan isu-isu infrastruktur asas yang diwarisi iaitu bekalan air, elektrik dan jaringan hubungan jalan raya serta komunikasi.
Seterusnya, perkara ketiga di bawah Sabah Prosper menekankan usaha menangani isu-isu utama yang diwarisi seperti kemiskinan, keperluan khas golongan rentan, peluang pekerjaan, perumahan, pengurusan bencana, pemodenan bandar dan transformasi daerah-daerah kurang membangun.
Perkara keempat pula menggariskan usaha melaksanakan reformasi kerangka perundangan dan institusi ke arah persekitaran yang mampan, progresif dan berintegriti serta tadbir urus yang baik termasuk penetapan had maksimum Ketua Menteri untuk dua penggal. – Info X