Search

PRU Sabah: Suhaimi mahu rakyat Sungai Sibuga dapat manfaat Belanjawan untuk OKU

November 17, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi DUN Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir akan memastikan hampir RM1.4 bilion peruntukan Belanjawan 2026 untuk kesejahteraan OKU benar-benar sampai kepada rakyat Sungai Sibuga yang memerlukan.

Beliau menegaskan, perkara itu akan dilaksanakannya jika diberi oleh pengundi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November ini.

Katanya, beliau mahu inisiatif dan bantuan di bawah peruntukan itu turut dinikmati rakyat di Sungai Sibuga.

“Bantuan itu merangkumi bantuan OKU terlantar dan pesakit kronik, bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja, Elaun Pekerja OKU, serta peningkatan pelepasan cukai bagi ibu bapa yang menjaga anak OKU bawah 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ziarah Kasih menyantuni adik OKU di PDM Taman Merpati, di sini, pada Isnin.

Dalam kunjungan itu, beliau sempat bertemu Adik Mohd Aidith Bakri, seorang OKU terlantar dan mendengar sendiri keadaan serta keperluan keluarga berkenaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menekankan keperluan untuk meluaskan pusat sokongan OKU di Sabah termasuk Sandakan agar akses perkhidmatan lebih menyeluruh.

“Saya mahu setiap golongan OKU di Sungai Sibuga khususnya mampu merasai bantuan secara nyata, bukan sekadar dalam belanjawan,” katanya. – Info X