SEPANGGAR: Sabah terus mundur dan berada di belakang berbanding negeri lain disebabkan rasuah dan salah guna kuasa.
Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan mendakwa negeri ini masih ketinggalan dalam banyak perkara.
“Sabah sudah merdeka sejak pembentukan Malaysia pada 1963, lebih 60 tahun lalu, tetapi apabila kita berjalan di negeri-negeri lain di Semenanjung, kita tidak menemui jalan raya seumpama di Sabah kerana jalan raya di negeri ini masih berada dalam keadaan tidak sempurna meskipun sudah lebih 60 tahun,” katanya.
Bekas ADUN Dilantik itu berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Karambunai Kasi Jadi di Padang Taman Sepanggar, pada Ahad.
Turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Calon PN bagi kerusi DUN Karambunai pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 itu berkata, ketika menziarahi kampung-kampung di Karambunai, sebahagian besar masyarakat tempatan masih menghuni tanah setinggan yang belum digazetkan sejak 50 hingga 60 tahun lalu.
“Sudah masuk generasi ketiga, tetapi setiap kali pilihan raya, ada ahli politik datang dan berjanji akan menggazetkan tanah milik penduduk, namun masuk penggal kedua mereka memohon maaf dan menangguhkan lagi, sedangkan rakyat Sabah sebenarnya bijak dan sudah cukup ditipu,” katanya.
Aliakbar mendakwa kampung-kampung sekitar Karambunai adalah kampung tradisi yang didiami masyarakat tempatan dan berada dalam zon pembangunan di bawah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), menyebabkan kampung terbabit semakin terhimpit pembangunan hingga menimbulkan kerisauan penduduk.
“Sebahagian masyarakat di sini ialah nelayan yang semakin terhimpit dan tidak mempunyai ruang untuk mencari rezeki sedangkan laut merupakan sumber makanan serta punca kehidupan keluarga mereka, malah ada antara mereka kini diancam pembangunan yang berlaku.
“Sebab itu saya menyebut dalam Dewan Undangan Negeri dan di luar dewan bahawa kita akan berusaha mengangkat kampung-kampung tradisi di Karambunai sebagai kampung warisan yang tidak boleh ditelan pembangunan selama-lamanya,” katanya.
Bekas Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menambah, sebahagian isu sebelum ini hanya berkisar kepada janji yang tidak ditunaikan.
“Banyak perkara yang boleh kita lakukan di Karambunai, terlalu banyak perjuangan yang boleh kita bawa, tetapi sebahagian isu sebelum ini hanya berkisar pada janji yang tidak ditunaikan, malah ada parti yang pernah memerintah meminta diberi setahun namun mereka memerintah lebih dua tahun pada siri yang lepas.
“Maka rakyat Sabah tidak boleh terus dibohongi, kerana kita membawa politik yang benar, politik yang berakhlak, bernilai, amanah, integriti serta politik matang dan sejahtera,” katanya. – Info X