Search

Lebih RM2 Bilion diperuntuk perkasa infrastruktur digital, bandar pintar di Sabah

November 18, 2025

Info X Reporters

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengalu-alukan penegasan Perdana Menteri bahawa lebih RM2 bilion telah diperuntukkan di Sabah bagi menaik taraf infrastruktur digital, ketersambungan internet dan pembangunan bandar pintar.

Sebahagian peruntukan ini merangkumi projek Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu, hasil kerjasama MCMC dan DBKK sejak Disember 2024, dengan nilai melebihi RM300 juta. Projek tersebut meliputi rangkaian gentian optik, Wi-Fi awam di lokasi strategik, pemasangan ‘smart poles’ 4G/5G serta sistem CCTV pintar yang akan berhubung terus ke pusat operasi bandar pintar.

Liputan internet di Sabah juga dipertingkat melalui JENDELA 2, melibatkan 800 lokasi baharu di pendalaman dan pulau-pulau. Kos keseluruhan dianggarkan RM1.4 bilion bagi pembangunan serta operasi untuk lima tahun, dan dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat, dan seterusnya mencapai liputan 100 peratus di kawasan berpenduduk.

Setakat September 2025, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) beroperasi di Sabah, dengan kos lima tahun sekitar RM120 juta. Pusat ini menyediakan akses internet, latihan, perkhidmatan digital dan program literasi untuk komuniti termasuk di kawasan pendalaman.

Kerajaan turut melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) di rumah keluarga Angkatan Tentera, merangkumi 9 kem dengan kira-kira 6,900 kediaman, bernilai RM14.2 juta.

MCMC menegaskan komitmen untuk memastikan semua inisiatif ini diterjemahkan kepada manfaat sebenar buat rakyat Sabah, termasuk kualiti rangkaian, pengalaman pengguna, keselamatan dalam talian dan pembangunan bandar pintar. – Info X