Alias Abdullah
RAMAI memuji keberanian Datuk Fairuz Renddan berdepan dengan tokoh politik Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika mula-mula bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada 2020.
Ketika itu, ramai yang kurang yakin terhadap kemampuannya selaku orang muda dan orang baharu dalam politik, lebih-lebih lagi pertama kali muncul dalam pilihan raya.
Jika dibandingkan Pandikar Amin pada masa itu, pengalamannya dalam politik yang tiada tolok bandingnya, malah pernah dua kali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk setelah memenanginya pada 1994 dan 2004, memang bukan lawan Fairuz.
Dilihat dari segi ketokohan, semua orang kenal Pandikar Amin sebagai seorang pemimpin yang tegas hingga diberi kepercayaan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2018.
Beliau juga pernah memimpin parti Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) sebelum menyertai UMNO dan kini mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), sebuah parti diasaskan Tun Datu Mustapha Datu Harun yang juga parti di mana Pandikar Amin mula bertapak dalam politik.
Itu antara kelebihan Pandikar jika dibandingkan dengan Fairuz yang boleh dianggap baru berjinak-jinak dalam politik, bermula sebagai Ketua Armada Bersatu Kota Belud pada 2020 sebelum menjadi Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Namun, pandangan terhadap anak muda berumur 41 tahun itu berubah apabila keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 diumumkan yang menyaksikan beliau berjaya memenangi kerusi DUN Pintasan yang pertama kali dipertandingkan pada masa itu.
Ketika itu, di atas kertas Pandikar Amin dianggap sudah menang jika dilihat dari segi ketokohan dan kelebihannya sebagai pemimpin yang disegani, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Iranun dan Bajau di Pintasan dan Kota Belud.
Namun, nama besar itu ditakdirkan tewas setelah mendapat 2,660 undi berbanding Fairuz sebanyak 2,744 undi dengan perbezaan hanya 84 undi pada masa itu.
Walaupun majoritinya kecil, kemenangan itu mengubah pandangan umum terhadap Fairuz yang pada mulanya dipandang sebelah mata, tapi selepas itu diakui sebagai pemimpin muda yang layak diberi pengiktirafan.
Fairuz berani berdepan Pandikar Amin walaupun sedar dirinya hanya seorang yang kerdil berbanding lawannya yang memiliki segala kelebihan sebagai seorang pemimpin.
Namun, malangnya ketika pengumuman calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tiga hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 15 November lalu, Fairuz tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya atas kudratnya sebagai anak muda kerdil pada 2020.
Sebaliknya, nama Pandikar Amin disebut dan itu sudah cukup menggambarkan keinginan tokoh politik disegani itu untuk kembali berkuasa dalam arena politik Sabah.
Sebagai pemimpin bawahan, Fairuz tentunya akur terhadap keputusan pimpinan tertinggi parti, namun jauh di sebalik lubuk hati beliau, tidak dinafikan ada perasaan kecewa dan sedih kerana tidak dapat mempertahankan kerusi yang menyimpan nilai sejarah dan semangat kepadanya.
Bukan setakat Fairuz, malah ribuan penyokong dan pengundi beliau yang menaruh harapan tinggi untuk dicalonkan semula juga pasti kecewa dan lebih pedih lagi terpaksa memilih orang lain untuk dimenangkan pada pilihan raya 29 November ini.
Itulah situasi yang berlegar di kawasan Pintasan menjelang hari penamaan calon baru-baru ini, tapi tanpa diduga sesuatu yang besar dirancang pada saat akhir untuk menyelamatkan Fairuz dari terus tenggelam dalam arus politik Pintasan.
Maka, pada 15 November lalu, Fairuz mengejutkan ramai penyokong dan pemerhati politik apabila muncul mencalonkan diri di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak, Kota Belud untuk mempertahankan kerusi DUN Pintasan atas tiket Bebas.
Sekali lagi, beliau menunjukkan keberaniannya berdepan dengan Pandikar Amin yang dicalonkan mewakili GRS, hanya kali ini beliau sebagai penyandang, sedangkan yang lain adalah lawannya.
Maknanya, Fairuz memiliki kelebihan untuk mempertahan dan memenangi semula kerusi DUN Pintasan atas sokongan pengundi yang rata-ratanya mahu beliau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu.
Walaupun sebagai calon bebas, faktor calon yang sudah terbukti boleh berkhidmat pasti menjadi penentu utama yang akan dilihat pengundi, terutama anak muda yang menjadi pemilih terbesar pada pilihan raya kali ini.
Meskipun pengundi, termasuk anak muda diberi pilihan dengan calon lain yang mempunyai ketokohan besar dalam sejarah politik Sabah, namun pasti ada pertimbangan lain yang dirasakan lebih penting berbanding rekod seumpama itu.
Tidak dinafikan kepemimpinan Pandikar Amin masih diperlukan di Sabah disebabkan pengalaman luasnya dalam politik dan ketegasannya terutama dalam soal mempertahankan hak Sabah.
Namun, ramai berpendapat menjadi ADUN di Pintasan bukan satu-satunya cara beliau boleh menyumbang kepada Sabah, sebaliknya banyak lagi cara yang boleh dilakukannya atau kerajaan bagi memastikan pengalaman luas mereka dapat dimanfaatkan untuk kebaikan Sabah.
Malah, ada yang berpendapat kerajaan juga boleh melantik beliau sebagai ADUN Dilantik yang tarafnya sama seperti ADUN yang dipilih melalui pilihan raya.
Sebagai ADUN Dilantik, seseorang itu juga masih boleh meneruskan khidmat di kawasan yang mereka kehendaki termasuk di Pintasan seperti dilakukan beberapa ADUN Dilantik sebelum ini.
Ada juga yang mengatakan, jika itulah situasinya mengapa bukan Fairuz saja yang diberi jawatan ADUN Dilantik dan biarkan Pandikar bertanding di Pintasan.
Soalnya, Fairuz memiliki kudrat orang muda yang lebih bertenaga, berbanding Pandikar yang sudah berumur 70 tahun, disifatkan ramai pemerhati politik sudah kurang mampu bergerak secara aktif di lapangan.
Namun, membicarakan perkara itu sudah tidak mempunyai apa-apa makna kerana Fairuz sudah membuat keputusan bertanding mempertahankan kerusi yang disandangnya walaupun kehilangan jawatan dan keahlian dalam parti.
Fairuz pasti sudah memikirkan secara mendalam kesan daripada keputusannya itu yang bermakna beliau akan kekal sebagai wakil bebas selama lima tahun jika memenangi kerusi DUN Pintasan pada 29 November ini.
Undang-undang anti lompat parti yang sudah dikuatkuasakan di Sabah itu menegah wakil rakyat daripada berpindah parti bagi mengelak kerusi dikosongkan dan satu-satunya yang boleh dilakukan hanyalah memberi sokongan kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan atau sebaliknya.
Apapun yang berlaku sehingga hari penamaan calon pada 15 November lalu tidak mungkin boleh diubah lagi memandangkan undang-undang pilihan raya menetapkan setiap calon yang sudah diterima secara sah mesti bertanding pada pilihan raya yang disertai kerana tidak wujud lagi istilah ‘tarik diri’.
Bagi pengundi Pintasan, pilihan pastinya terbuka luas kerana bukan saja ada Fairuz dan Pandikar Amin, malah ada sembilan lagi calon lain dengan latar belakang dan kelebihan masing-masing yang boleh dilihat-lihat terlebih dahulu sebelum membulatkan keputusan untuk memangkah seorang calon.
Artikel ini hanya pandangan penulis dan bukan mewakili pendirian rasmi Info X