Search

PRU Sabah: Misi besar Yakub pertahan DUN karambunai untuk BN

November 19, 2025

Info X Reporters

Alias Abdullah

SEJARAH politiknya sudah lama bermula, tapi dalam kancah pilihan raya, Datuk Yakub Khan baru bermula pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lima tahun yang lalu.

Ketika itu, beliau berjaya merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai dari tangan Parti Warisan untuk kembali ke pangkuan UMNO – Barisan Nasional (BN).

Meskipun hanya dengan majoriti tipis 16 undi, Karambunai yang sebelum 2018 adalah kubu kuat BN, dapat ditawan semula pada PRN16 dan kekal di bawah BN hingga ke hujung penggal.

Atas kejayaan itu, Yakub dipertaruhkan lagi bagi mempertahankan kerusi berkenaan di tangan BN pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Persoalannya, mampukah beliau memenangi semula kerusi itu setelah hanya menang tipis pada 2020, selain tewas di kerusi Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022.

Tapi, ada fakta yang mungkin ramai tidak tahu mengenai kemenangan di sebalik majoriti 16 undi yang diperolehi Yakub pada PRN16.

Meskipun angka itu dilihat kecil, namun Yakub sebenarnya berjaya merampas lebih 5,000 undi yang menjadi majoriti calon Warisan, Azhar Matussin ketika mengalahkan calon BN, Datuk Jainab Ahmad pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Maknanya, BN berjaya mengembalikan keyakinan rakyat terhadapnya melalui Yakub pada PRN 2020 dan dijangka bertambah kukuh lagi pada PRU Sabah Ke-17 sejajar dengan peningkatan jumlah pengundi.

Selain itu, ada juga yang menggunakan kekalahan Yakub pada PRU 2022 sebagai rujukan bagi meramal masa depan beliau di kerusi DUN Karambunai, tanpa melihat situasi dan kedudukan kerusi DUN Karambunai dibandingkan dengan kerusi Parlimen Sepanggar.

Secara matematik, adalah tidak wajar untuk membandingkan pertandingan di DUN Karambunai dengan Parlimen Sepanggar memandangkan Karambunai hanyalah sebahagian daripada tiga DUN dalam kawasan Parlimen berkenaan.

Perlu juga diambil kira situasi pada PRU 2022 itu yang menyaksikan pertembungan tiga parti utama iaitu BN, Warisan dan Pakatan Harapan (PH) yang masing-masing memiliki kekuatan mereka sendiri.

Calon Warisan pada ketika itu, Datuk Mohd Azis Jamman memiliki kelebihan selaku penyandang, selain Warisan turut menguasai DUN Darau, diikuti calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Datuk Mustapha Sakmud dengan kelebihan penguasaan di DUN Inanam.

Yakub, selaku ADUN Karambunai sudah tentu turut mempertaruhkan kedudukan itu untuk menawan kerusi Parlimen Sepanggar, namun faktor pecah undi di antara tiga parti utama itu memberi kelebihan kepada PH untuk memenanginya.

Berdasarkan perkiraan itu, tidak timbul isu kekalahan pada PRU lalu memberi kesan kepada Yakub, kerana pemilihan kali ini hanya berlegar di DUN Karambunai.

Bagi yang benar-benar mengenali beliau, Yakub bukan orang yang sukar didampingi, malah beliau banyak turun padang, namun pendekatan ‘bekerja diam-diam’ yang menjadi amalannya mungkin menyebabkan ada yang merasakan beliau ‘jauh’ dari Karambunai.

Kedudukan BN yang tidak lagi berada dalam kerajaan negeri bermula awal 2023 juga mungkin antara sebab publisiti terhadap bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu berkurangan, namun beliau sentiasa ada di DUN Karambunai untuk membantu rakyatnya.

Ketika bersama kerajaan negeri sebelum itu, Yakub tidak pernah terpinggir dari perhatian media yang sentiasa membuat liputan program yang dilaksanakannya, sama ada dalam kementerian atau tugasnya sebagai ADUN di kawasan.

Namun, soal publisiti bukan perkara utama yang dilihat dalam menentukan kemampuan atau kredibiliti seseorang calon untuk dipilih sebagai wakil rakyat.

Sebaliknya, penilaian perlu dilihat terhadap hasil kerja calon selaku penyandang kawasan dalam membela nasib rakyat, tidak kira sama ada secara terang-terangan atau ‘bekerja diam-diam’.

Apa yang penting, Yakub kali ini membawa misi besar untuk mempertahankan kerusi DUN Karambunai, sekali gus memenangkan BN untuk kembali memerintah Sabah.

Meskipun berdepan saingan sengit daripada beberapa calon yang turut aktif berkempen sejak sebelum pembubaran DUN, khususnya calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Arshad Idris, selain calon Warisan, Yakub masih di hadapan selaku penyandang kerusi.

Itu kelebihan utama beliau, selain penampilan bersahaja mendekati rakyat Karambunai tanpa mengira kaum dan agama, sesuai dengan komposisi rakyat di kawasan itu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Jika Yakub berjaya mempertahankan Karambunai dan BN kembali memerintah negeri sudah pasti nasib dan kebajikan rakyat kawasan itu, dari Tebobon ke Sepanggar hingga ke Telipok lebih terbela lagi selepas ini.

Dengan kedudukan strategik DUN Karambunai yang menempatkan kawasan perindustrian utama negeri, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) selain pusat pendidikan tinggi dan latihan TVET, ia satu kelebihan bagi rakyat kawasan itu untuk menikmati limpahan sektor berkenaan kepada rakyatnya.

Selain itu, kemajuan Karambunai dijangka lebih pesat lagi apabila siap tidak lama lagi sebahagian Lebuhraya Pan Borneo yang melalui kawasan berkenaan yang turut merangkumi beberapa persimpangan bertingkat.

Inilah masanya pengundi Karambunai membuat pilihan dengan bijak untuk memilih calon yang mampu merapatkan lagi hubungan Sabah dengan Persekutuan bagi membolehkan lebih banyak limpahan kemajuan sampai kepada mereka di bawah pemimpin seperti Yakub.

Kali ini, seramai 39,247 pemilih berdaftar bakal menentukan nasib 11 calon yang merebut kerusi DUN berkenaan, berbanding hanya 19,560 pengundi pada PRN 2020.

Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak mewakili pendirian rasmi Info X