Search

PRU Sabah: GRS yakin capai majoriti mudah 29 November ini

November 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yakin memperolehi majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keyakinan itu berasaskan kejayaan nyata Kerajaan GRS sepanjang lima tahun memerintah.

“Kita begitu yakin kerana dalam masa lima tahun ini, kita telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan Sabah,” katanya.

Beliau berkata pelbagai sektor ekonomi dapat ditingkatkan selain program kebajikan diperluaskan untuk membantu rakyat.

Jelasnya, kerajaan turut menumpukan kepada pembangunan modal insan dengan menyediakan bantuan pendidikan terbesar dalam sejarah Sabah.

“Dalam masa hampir lima tahun, kita belanja RM1.3 bilion. Biasiswa pun kita tingkatkan, macam-macam lagi,” katanya.

Hajiji berkata, kejayaan kerajaan termasuk termeterainya perjanjian dengan PETRONAS, membolehkan hasil negeri ditingkatkan daripada hampir RM4 bilion kepada RM7 bilion.

Katanya, rizab negeri turut bertambah daripada sekitar RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion ketika ini, membuktikan kerajaan pimpinannya berjaya mentadbir Sabah dengan baik.

Beliau berkata, rakyat harus melihat pencapaian itu, selain beberapa lagi inisiatif lain yang memberi manfaat kepada rakyat, antaranya bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) bernilai RM300 sebulan yang dinikmati kira-kira 100,000
rakyat di bawah E-Kasih, selain bantuan perumahan seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sementara itu, mengulas serangan pembangkang, Hajiji berkata, mereka pernah memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan persekutuan, namun tidak menunjukkan pencapaian yang setara.

Justeru beliau berharap rakyat membuat pilihan tepat pada pilihan raya nanti.

“Kita sudah berada di landasan yang betul, jadi saya harap rakyat tengok betul-betul. Jangan ikut perasaan tetapi lihat bukti prestasi nyata pencapaian kerajaan GRS dalam lima tahun ini,” katanya.

Kerajaan kini, katanya sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan termasuk menyelesaikan masalah air yang menurutnya berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan terdahulu yang menamatkan konsesi air.

“Kita kena bayar RM315 juta. Kalau tidak ada pembatalan ini, RM315 juta itu kita boleh guna untuk buat jalan raya kampung, jambatan kampung dan sebagainya,” katanya.

Hajiji turut menolak dakwaan kononnya Kerajaan GRS terlibat dalam rasuah dan menyifatkannya sebagai fitnah bermotif politik.

“Apa yang rasuah? Kita potong ataupun batalkan permohonan mereka dalam cari gali mineral. Itu (dakwaan) semua mempunyai motif politik yang jahat.

“Sebab itu keluarlah video-video itu. Orang dari sana datang ke sini mahu mengajar kita. Patut dia ada disiplin dan sopan bila datang ke negeri orang untuk mencari rezeki. Apa dia mahu buat di sini,” katanya. – Info X