KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperkenalkan satu enakmen baharu bagi memudahkan jual beli dan pengurusan hartanah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia khususnya projek yang membabitkan pemaju dan pemilik seperti pembangunan 1Borneo Hypermall.
Beliau berkata langkah itu akan dilaksanakan jika GRS diberi mandat untuk memerintah semula pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
“Beberapa peraturan sedia ada sudah terlalu lama digunakan dan tidak lagi sesuai, maka perlu digubal semula bagi mempercepat urusan antara pembeli, pemilik tanah dan pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 1,974 Geran Subsidiari 1Borneo kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, enakmen baharu itu akan menangani halangan teknikal yang sering melambatkan proses jual beli dan pertukaran hak milik hartanah.
“Untuk urusan-urusan yang bersangkutan, kadang-kadang enakmen yang ada tidak lagi berapa sesuai kerana sudah lama, berpuluh-puluh tahun.
“Jadi kita perlu gubal untuk memudahkan lagi pembeli dan juga pemilik tanah, hartanah ini,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis penyerahan geran itu, Hajiji menzahirkan kesyukuran kerana penyerahan 1,974 geran subsidiari yang ditunggu-tunggu pemilik rumah dan pembeli kedai di 1Borneo akhirnya dapat direalisasi.
Beliau berkata, penyerahan itu membuktikan kesungguhan Kerajaan GRS mempercepatkan pengeluaran strata title, walaupun terdapat beberapa kekangan teknikal yang masih perlu diselesaikan.
“Yang jelas bahawa Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah melakukan yang terbaikuntuk membantu USIA dan pemilik atau pembeli hartanah di 1Borneo,” katanya.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan kerajaan sentiasa komited menyelesaikan isu berkaitan urusan tanah dan hartanah, termasuk mencadangkan satu enakmen baharu bagi memudahkan lagi urusan antara pemaju dan pemilik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada USIA dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur atas kejayaan menyelesaikan masalah dihadapi oleh pemilik atau pembeli hartanah di 1Borneo.
Semenjak diwujudkan, 1Borneo Hypermall menjadi antara mercu tanda komersial paling menonjol di Sabah, malah hypermall terbesar bukan saja di Sabah, malah di Borneo.
Kompleks itu merangkumi empat blok kediaman dengan 910 geran strata, 21 geran bagi 2,300 tempat letak kereta berbumbung dan 1,043 geran komersial, termasuk empat hotel dengan sebanyak 929 bilik. – Info X