KOTA BELUD: Kubu kuat UPKO di Kadamaian menjadi sasaran utama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui parti komponennya, Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mengembalikan kerusi itu ke pangkuannya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.
Berikutan itu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai yang juga calon GRS Kiulu hadir membantu calon GRS Kadamaian, James Muyou bagi berkempen untuk menarik sokongan rakyat Kadamaian kembali ke pangkuan PBS.
Joniston, yang juga Ketua Penerangan PBS, berkata kerjasama antara calon dan jentera merentas kawasan adalah amalan biasa dalam gabungan bagi menunjukkan semangat setiakawan dan kesepaduan parti.
“Dalam GRS, kita bergerak sebagai satu pasukan. Semangat setiakawan ini penting bagi memastikan tidak berlaku perpecahan dan supaya rakyat lihat kita bekerja bersama,” katanya ketika berkempen di Kampung Malangkap Kapa, di sini, pada Khamis.
Beliau turut hadir berkempen di Kampung Malangkap Noriou, selain mengadakan walkabout di Pekan Nabalu dan ceramah di Pusat Mengundi Daerah (PDM) Tomis di Kiulu.
Joniston, yang dikenali atas sumbangan dan peranannya dalam pembangunan pelancongan luar bandar di Kadamaian, berkata kekuatan gabungan tempatan amat diperlukan untuk memastikan Sabah kekal dominan dalam membuat keputusan berhubung pembangunan negeri.
“Apabila gabungan tempatan stabil, keputusan yang menyentuh kepentingan rakyat Sabah dapat dibuat dengan lebih tersusun dan menepati keperluan sebenar,” katanya.
Mengulas sentimen pihak tertentu yang mempertikai kerjasama GRS dengan parti nasional, Joniston menjelaskan hubungan negeri – Persekutuan perlu dijaga bagi memastikan agenda pembangunan Sabah tidak tergendala.
Katanya, kerjasama negeri -Persekutuan tidak harus dilihat secara negatif kerana ia adalah hubungan dua hala yang memberi manfaat kepada Sabah.
“Sabah juga mempunyai peranan penting dalam memastikan kestabilan politik negara. Sentimen negatif hanya akan merugikan rakyat kerana ia mengganggu fokus terhadap agenda pembangunan dan perkhidmatan di peringkat akar umbi. Yang penting ialah suara Sabah kekal kuat,” katanya.
Joniston menggesa pengundi Kadamaian memberikan sokongan kepada James sambil menegaskan bahawa kemenangan calon GRS akan memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri.
Misi GRS di Kadamaian ialah untuk menidakkan kemenangan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang sebelum ini meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan membawa UPKO keluar dari Pakatan Harapan (PH).
Ewon memenangi kerusi itu pada 2018 sebelum mempertahankannya pada 2020 tetapi bertanding di kerusi Parlimen Penampang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022. – Info X