Search

Pos maritim baharu dibina di Pitas bantu kukuhkan keselamatan di ESSZONE

November 21, 2025

Info X Reporters

PITAS: Kawalan keselamatan perairan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bakal diperkukuh apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menjalankan tinjauan tapak bagi cadangan pembinaan Pos Maritim baharu di Kampung Pegasaon Mapan-Mapan, di sini.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@ Razali berkata, lawatan berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan, kesesuaian lokasi serta keperluan operasi benar-benar menepati kriteria sebelum projek diteruskan.

“Jika lokasi ini sesuai dan memenuhi keperluan, tindakan susulan akan diambil untuk meneruskan cadangan pembinaan pos berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Lawatan itu turut disertai Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos; Timbalan Komander ESSCOM, Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin; serta Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed.

Wakil Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (Pitas) serta Pejabat Daerah Pitas juga hadir bagi memberikan input berkaitan keluasan tanah, status rizab dan urusan pentadbiran setempat.

Dalam sesi itu, Pegawai Seksyen Operasi Zon Maritim Kudat, Lefternan Madya Maritim Muhammad Afify Ahamad, memberikan taklimat mengenai kedudukan tapak, keperluan infrastruktur dan aspek logistik.

Beliau turut menerangkan potensi operasi keselamatan maritim yang bakal dijalankan sebaik pos tersebut dibangunkan.

Cadangan penubuhan pos itu dijangka mengukuhkan jaringan kawalan keselamatan di perairan Pitas, termasuk membanteras penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Ia juga bertujuan memastikan kesiapsiagaan rondaan dan operasi berada pada tahap optimum di ESSZONE.

Sementara itu, Mohd Khairulanuar berkata pihaknya komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan ESSCOM dan agensi keselamatan lain bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat serta kesejahteraan penduduk setempat terpelihara. – Info X