SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua hari bagi mengesan seorang lelaki yang hilang ketika menyelam di perairan Pulau Bum-Bum, di sini berakhir tragedi apabila mangsa ditemui meninggal dunia, petang tadi.
Mangsa berusia 36 tahun itu dilaporkan hilang pada 19 November lalu ketika melakukan aktiviti menyelam untuk menangkap ikan sebelum usaha mencarinya digerakkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna.
Operasi turut disertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Akimullah Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada APMM pada jam 9 pagi semalam dan terus menggerakkan pasukan dari BBP Air Semporna ke lokasi kejadian sejauh 45 kilometer.
Katanya, operasi SAR hari pertama berdepan cabaran apabila liputan talian telefon dan sistem GIRN terganggu sepanjang pencarian di kawasan perairan berkenaan.
“Usaha pencarian diteruskan pada hari kedua bermula jam 8.20 pagi membabitkan pasukan bomba, APMM, APM dan PDRM. Pencarian memberi tumpuan di lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Bagaimanapun, sekitar jam 4.13 petang, keluarga mangsa yang turut membantu usaha pencarian menemui jasad lelaki terbabit di kawasan Pancang Pusingan sebelum dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak berwajib.
“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang,” katanya.
Terdahulu, difahamkan keluar menyelam seorang diri sebelum dilaporkan tidak muncul semula.
Sebanyak lima anggota bomba bersama sebuah bot Kevlar dikerahkan sepanjang operasi. – Info X