Search

PRU Sabah: Akmal beri kepercayaan kepada Joe Arfan untuk bangunkan Darau

November 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh meletakkan kepercayaan kepada Arfanshah Abdul Gafar untuk membangunkan kawasan Darau jika menang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Katanya, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau itu adalah individu yang mampu membawa pembaharuan untuk rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya percaya kalau kita angkat orang yang dekat dengan kita, datang dari kita, susah senang dengan kita, insyaAllah inilah orang yang akan bangunkan DUN Darau dan kampung kita.

“Saya minta tolong kepada kakak-kakak, abang-abang, memang betul Joe ini muda, tapi inilah aspirasi kita. InsyaAllah inilah orang yang akan bawa kita. Saya percaya abang-abang semua berjiwa besar, muda bukan hanya umur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah Bikin Balik Sabah @ Darau di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rampayan, Manggatal.

Akmal turut mengingatkan jika berjaya menjadi wakil rakyat nanti, calon yang diangkat pengundi Darau itu tidak melupakan jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen untuk memenangkannya.

“Jangan fikir soal duit, jangan fikir kesenangan diri, kalau jadi pemimpin pastikan rakyat makan dulu sebelum kita makan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tanggungjawab besar yang menanti Arfanshah setelah menjadi wakil rakyat nanti supaya melakukan yang terbaik untuk rakyat di kawasan Darau.

“Selepas dinobat jadi YB mesti selesai sehabis baik dalam lima tahun sekurang-kurangnya tiada lagi banjir teruk di Darau. Jika tidak buat kerja saya orang kedua yang akana ‘pancung’ selepas Ketua PDM.

“Calon Pemuda kalau tidak buat kerja jangan mimpi akan jadi calon balik selepas ini, mesti jadi yang berkhidmat. Apabila jadi YB kamu jadi hamba rakyat, bukan bos rakyat, kena dengar suara rakyat,” katanya.

Akmal mengingatkan bahawa rakyat memerlukan pemimpin yang dapat membantu mereka ketika ada kuasa sebagai wakil rakyat, bukan mempergunakan rakyat, seperti mengambil harta dan menjual tanah rakyat.

Sementara itu, Arfanshah yang mesra disapa sebagai Joe dalam ucapannya memohon agar rakyat Darau menyokong BN untuk menyumbang satu kerusi kepada gabungan itu bagi membentuk kerajaan negeri pada 29 November ini. – Info X