KINABATANGAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Johainizamshah Johari menerima sokongan kuat masyarakat Bugis pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Perkembangan itu berdasarkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat berkenaan di sekitar daerah ini, khususnya di DUN Lamag yang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Johainizamshah.
Mengulas situasi itu, Johainizamshah berkata beliau terharu dengan sokongan masyarakat Bugis yang disifatkannya sebagai perkembangan positif bagi membantu GRS memenangi kerusi DUN Lamag pada 29 November ini.
Katanya, sokongan itu menggambarkan kepercayaan masyarakat berkenaan terhadap kepemimpinan GRS dalam usaha membawa pembaharuan di Lamag setelah sepenggal diwakili Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sudah lama mewakili kawasan Parlimen.
“Kita berterima kasih dan bersyukur atas sambutan yang sangat menggalakkan masyarakat Bugis terhadap saya selaku calon GRS di Lamag. Mereka menzahirkan semangat yang kuat terhadap kita di Lamag ini.
“Perkembangan ini menggambarkan sokongan yang kukuh masyarakat Bugis kepada calon GRS dan keyakinan mereka terhadap keupayaan kita membawa pembaharuan di Lamag.
“Sokongan ini juga mencerminkan hubungan erat kita dengan masyarakat setempat serta keyakinan bahawa GRS yang saya wakili boleh membawa perubahan positif di kerusi DUN Lamag,” katanya pada program bersama masyarakat Bugis, di sini.
Katanya, sokongan yang dizahirkan masyarakat Bugis itu juga menunjukkan masyarakat berkenaan semakin prihatin terhadap pilihan raya dan pembangunan di kawasan Lamag.
“Mereka juga berharap untuk melihat pembangunan yang lebih menyeluruh serta kemajuan di kawasan mereka.
“Suasana yang penuh semangat ini memberi petunjuk bahawa GRS mempunyai sokongan padu dalam menghadapi pilihan raya pada kali ini,” katanya. – Info X