Search

699 PATI Filipina dihantar pulang ke negara asal

November 22, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seramai 699 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina dihantar pulang melalui Program Pemindahan Tahanan Siri 20/2025 yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, kelmarin.

Semua mereka terdiri daripada 430 lelaki, 128 perempuan, 119 kanak-kanak berusia 2 hingga 12 tahun serta 22 bayi bawah 23 bulan dibawa keluar melalui Pelabuhan Sandakan menuju Zamboanga City menggunakan kapal MV Antonia 1.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, tahanan yang dipindahkan dari tiga depot iaitu Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan, dengan purata umur paling muda 4 hari dan paling tua 77 tahun.

Beliau berkata, semua kanak-kanak yang dihantar pulang turut ditemani ibu bapa atau penjaga masing-masing, dan setiap tahanan memiliki Travel Document (TD) yang sah selepas selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang.

“Setakat ini, JIM Sabah sudah memindahkan 9,804 warga asing ke negara asal sepanjang tahun ini melalui laluan laut dan udara.

“Ia merangkumi 7,635 warga Filipina, 1,757 Indonesia, 252 Pakistan, 84 China, 39 Vietnam, 10 India, 3 Thailand dan 24 warga dari negara lain,” katanya dalam kenyataan media.

Sitti Saleha menegaskan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan boleh dikenakan tindakan berat termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kerjasama pihak kedutaan amat penting dalam mempercepatkan pengeluaran Travel Document kerana kelewatan hanya akan memanjangkan tempoh tahanan berada di depot.

“Proses pemindahan bergantung pada tindakan segera kedutaan. Jika TD lewat dikeluarkan, ia memberi kesan kepada tempoh tahanan berada di depot,” katanya.

Beliau berkata, operasi penghantaran pulang akan terus diperhebat bagi memastikan isu PATI di Sabah dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan. – Info X