Search

Ibu tunggal, anak lelaki tinggal sehelai sepinggang

November 22, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang ibu tunggal bersama anak lelakinya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang mereka diami di Kampung Marak Parak, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Dua beranak itu masing-masing berusia 52 tahun dan 17 tahun, dikatakan berada di dalam rumah kira-kira jam 10 malam sebelum ternampak api mula marak dari bahagian dalam kediaman dua tingkat jenis separuh kekal.

Menyedari keadaan semakin berbahaya, mereka bertindak keluar menyelamatkan diri tanpa sempat membawa apa-apa barang berharga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi, berkata pasukan operasi yang tiba pada 10.10 malam mendapati kediaman terbakar hampir 90 peratus.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dengan dua pancutan dan sumber air dari jentera.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.14 malam dan operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada 11.15 malam.

“Tiada mangsa cedera dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Operasi membabitkan sembilan anggota, menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan water tanker.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan, namun dua beranak terbabit kini hilang tempat tinggal dan memerlukan bantuan segera. – Info X