TAWAU: Tindakan mencurigakan sepasang kekasih membawa pacuan empat roda di Jalan Utara, di sini, membawa padah apabila mereka dicekup polis dalam operasi pencegahan dadah, Khamis lalu.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam, pasangan itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menjalankan Op Tapis di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan mereka menemui satu beg plastik hitam mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 6.53 gram bernilai kira-kira RM653.
“Suspek lelaki berusia 33 tahun yang memandu kenderaan itu didapati positif amphetamine dan methamphetamine selepas ujian saringan awal.
“Manakala pasangannya, wanita tempatan berusia 26 tahun, didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kedua-duanya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada rekod lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Jasmin berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan atau pengedaran dadah.
“Dadah bukan sahaja merosakkan masa depan, malah membuka ruang kepada kegiatan jenayah lain.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing,” katanya. – Info X