Search

PRU Sabah: Rakyat Sabah pilih GRS-PH – Hajiji

November 23, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) menjadi pilihan rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan sokongan rakyat yang dilihatnya di semua kawasan yang dihadirinya sepanjang seminggu berkempen sejak hari penamaan calon pada 15 November lalu.

“Kalau melihat di tempat yang saya berkempen, alhamdulillah calon GRS-PH ini diterima baik oleh pengundi, mereka memilih untuk kemajuan di masa akan datang.

“Mereka cakap sudah beri peluang kepada yang lain, jadi mereka mahu kerajaan GRS ini diteruskan lagi untuk lima tahun yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Kempen Mega Tamparuli GRS di tapak tamu Pekan Tamparuli, dekat sini, pada Ahad.

Kempen itu turut dihadiri calon GRS Tamparulli, Dr Bonaventure Boniface dan calon GRS Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Sementara itu, calon GRS Sulaman itu mengingatkan pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian awal Selasa ini supaya memilih calon yang boleh membawa kemajuan di kawasan masing-masing dan negeri keseluruhannya

“Undilah, itu sudah menjadi hak demokrasi mereka, undi itu di tangan mereka. Kita bagi mereka kebebasan, tapi kalau tanya saya undilah calon yang boleh bawa kemajuan, bukan saja di kawasan tapi untuk Sabah pada masa akan datang,” katanya. – Info X