SEPANGGAR: Rakyat Sabah diingatkan supaya membuat pertimbangan yang bijak dengan memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, 29 November ini.
Calon GRS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Arshad Idris, berkata rakyat perlu meneruskan khidmat GRS selaku kerajaan yang memerintah agar segala rancangan untuk pembangunan negeri dan rakyat yang dibuat sebelum ini dapat diteruskan.
Katanya, meskipun banyak parti dan calon yang bertanding dan datang merayu undi, rakyat khususnya di DUN Karambunai perlu membulatkan sokongan hanya kepada calon GRS.
“Di DUN Karambunai ini ada 11 yang bertanding, GRS, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Warisan dan lain-lain lagi.
“Mulai penamaan calon pada hari itu, pasti banyak parti yang datang merayu dan memujuk, jadi saya mohon jangan terima hidup-hidup yang lain itu.
“Kita terimalah GRS ini yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor. Kita teruskan kerajaan ini agar rancangan yang dibuat kerajaan dapat diteruskan,” katanya pada menemui petugas di Markas GRS Taman Kuala Manggatal, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, katanya jika menang pada 29 November ini, beliau akan membantu mambina sebuah dewan untuk kegunaan penduduk Taman Kuala Menggatal melaksanakan pelbagai aktiviti.
Beliau berkata, ketiadaan dewan menyukarkan penduduk apabila mengadakan program seperti majlis perkahwinan berikutan keadaan persekitaran taman yang sempit.
“Saya lihat penduduk di sini terpaksa menutup jalan untuk memasang khemah jika ada majlis seperti perkahwinan diadakan, jadi ini menyukarkan penduduk di sini.
“Justeru, saya melihat ada keperluan untuk membina sebuah dewan di tapak kosong berhampiran masjid. InsyaAllah jika menang pada 29 November ini, saya akan usahakan pembinaan dewan berkenaan,” katanya. – Info X