Oleh Jonathan Bradley
MUDA, bersemangat dan tidak lekang dengan senyuman, itulah aura dibawa calon Parti Kesejahteraan Demokratik (KDM) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Priscella Peter, yang kini menjadi tumpuan sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Setiap kali turun padang, kehadirannya bagaikan magnet. Bukan saja kanak-kanak, malah golongan remaja, dewasa dan warga emas tidak segan menyapa. Priscella pula langsung tidak kekok membalas sapaan, malah terlebih dahulu membuka bicara.
Di mana saja program diadakan, wanita berjiwa besar itu menjadi ‘buruan’ lensa kamera. Ada yang sanggup beratur semata-mata mahu bergambar, seolah-olah berjumpa artis terkenal.

Namun bagi Priscella, itu bukan alasan untuk bermegah. Sebaliknya dia menganggap ia amanah untuk lebih dekat dengan masyarakat yang menaruh harapan tinggi terhadapnya.
Dengan jadual padat hampir setiap hari, Priscella dilihat sentiasa berkejaran antara ceramah, walkabout dan perjumpaan komuniti, memastikan setiap undangan penduduk Melalap dipenuhi tanpa culas.
Sepanjang kempen, ada waktunya dia menghadiri lebih lima program dalam sehari, termasuk memasuki kampung berbukit dan terpencil hanya untuk mendengar luahan penduduk tentang bantuan kebajikan, peluang pekerjaan dan isu pembangunan dasar kampung.

Penduduk tempatan menyifatkan perwatakan Priscella sebagai ‘rendah diri dan tidak sombong”, terutama apabila dilihat tenang melayan setiap individu, tanpa memilih siapa.
“Dia senang senyum, senang berbual. Tidak seperti calon yang kami pernah jumpa sebelum ini,” kata seorang warga emas ditemui selepas ceramah di Kampung Saga, di sini.
Dalam sesi walkabout, beliau sanggup berhenti lama hanya untuk mendengar aduan ibu tunggal, belia yang masih mencari kerja dan peniaga kecil yang mengeluh tentang kos sara hidup semakin mencabar.

Sikapnya yang cepat mencatat, perlahan mendengar dan tidak terburu-buru keluar dari sesuatu kawasan, menambah keyakinan pengundi bahawa calon muda seperti Priscella mampu membawa suara mereka ke DUN.
Kemeriahan kempen Priscella turut dirasai di media sosial apabila video dan gambar interaksinya bersama penduduk cepat tular. Ramai memuji caranya yang dianggap ‘fresh’, moden dan dekat dengan jiwa belia Melalap.
Tidak cukup dengan itu, Priscella sering dilihat berjalan sendirian ke kedai-kedai kecil dan gerai makan tanpa protokol berat, satu gaya yang jarang dipamerkan dalam politik Sabah.

Dalam ceramahnya, Priscella kerap mengangkat isu asas penduduk Melalap seperti peningkatan infrastruktur, penambahbaikan jalan kampung, ruang pembangunan untuk belia dan sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.
“Jika mahu kemajuan, suara rakyat Melalap mesti dibawa secara tuntas,” katanya dalam satu program santai di Kampung Pamilaan.
Turun ke kawasan sejak awal kempen menunjukkan gaya kepimpinan yang tidak menunggu rakyat datang kepadanya, sebaliknya memilih untuk masuk sendiri ke setiap kampung.

Fenomena yang lebih menarik, rata-rata belia yang ditemui menyifatkan Priscella sebagai simbol pembaharuan, calon wanita muda yang bukan sekadar tampil dengan imej segar, tetapi benar-benar bekerja keras mendekati pengundi.
Namun, dalam kesibukannya, Priscella tetap tidak menolak permintaan gambar, walaupun tengah bergegas ke lokasi seterusnya. Bagi penduduk, itu cukup menggambarkan keperibadian calon mereka.
Kempen Priscella dilihat semakin mendapat sambutan ketika PRU memasuki fasa akhir. Aura dan gaya mesranya memberi impak besar, terutama dalam kalangan pengundi muda.

Walaupun persaingan di Melalap dijangka sengit, kehadiran Priscella dianggap mampu mengubah landskap politik kawasan itu, apatah lagi penerimaan rakyat terhadapnya kelihatan semakin positif hari demi hari.
Bagi penduduk Melalap, mereka kini menanti 29 November, sama ada Priscella berjaya meneruskan gelombang sokongan atau sebaliknya. Namun buat masa ini, calon muda KDM itu nyata berjaya mencuri hati ramai.
𝘼𝙧𝙩𝙞𝙠𝙚𝙡 𝙞𝙣𝙞 𝙖𝙙𝙖𝙡𝙖𝙝 𝙥𝙖𝙣𝙙𝙖𝙣𝙜𝙖𝙣 𝙥𝙚𝙣𝙪𝙡𝙞𝙨 𝙨𝙚𝙢𝙖𝙩𝙖-𝙢𝙖𝙩𝙖 𝙙𝙖𝙣 𝙩𝙞𝙙𝙖𝙠 𝙢𝙚𝙬𝙖𝙠𝙞𝙡𝙞 𝙥𝙚𝙣𝙙𝙞𝙧𝙞𝙖𝙣 𝙧𝙖𝙨𝙢𝙞 𝙄𝙣𝙛𝙤 𝙓