KUNAK: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi parah selepas pikap yang dinaiki mereka terbabas ke jurang sedalam enam meter di Jalan Kunak – Tawau, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 pagi, sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dan unit EMRS digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan tiba pada 4.38 pagi dan mendapati kenderaan itu berada di dasar cerun dengan empat mangsa terperangkap.
“Seorang mangsa, dikenali sebagai Herdin Basri, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak KKM.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, tiga lagi mangsa Rahman Sulaiman, 39, warga Indonesia; Mohd Ali Gapare, 35; dan Mohd Hafiz Haling, 28 mengalami kecederaan kategori semi kritikal.
“Pasukan EMRS memberikan rawatan awal kepada semua mangsa sebelum mereka dihantar ke Hospital Kunak serta Hospital Tawau menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM,” katanya.
Mohamad berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.55 pagi selepas kawasan cerun dipastikan selamat dan tiada lagi risiko lain.
“Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, katanya.- Info X