Search

PRU Sabah: Bukan kita kena ‘pisit’, tapi kita yang ‘pisit’ dorang – Joniston

November 24, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai menafikan pemimpin gabungan itu tunduk kepada pemimpin kerajaan Pusat.

Beliau berkata, dakwaan pihak lawan kononnya pemimpin GRS, termasuk Ketua Menteri selaku Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor ‘dipisit’ adalah tidak benar.

Sebaliknya, beliau berkata pemimpin Pusat yang ‘dipisit’ berikutan ketegasan Ketua Menteri menuntut hak Sabah daripada kerajaan Persekutuan.

“Kita dicakap kena ‘pisit’, kena ‘pisit’, ‘pisit’ apa..yang sebenarnya tidak keterlaluan kalau saya cakap bukan kita yang kena ‘pisit’, tapi YAB (Hajiji) yang ‘pisit’ sama dorang kalau tidak ikut apa yang kita minta.

“Ada yang cakap ada ura-ura ketajaan persekutuan mahu buat rayuan 40 peratus, belum lagi buat sudah cakap ada ura-ura. Tapi apa yang YAB buat, dia diam-diam terbang pigi Kuala Lumpur berjumpa dengan Perdana Menteri menyampaikan perasaan rakyat Sabah inginkan kerajaan persekutuan jangan merayu.

“Oleh itu Perdana Menteri dengar permintaan Ketua Menteri kerana dia bawa suara rakyat, jadi siapa yang ‘pisit’ siapa. Jangan buat begitu, banyak lagi cerita kalau soal-soal ‘pisit’ ini.

“Yang cakap Sabah for Sabahan ini, RM53 juta pemberian khas diterima bulat-bulat saja, tapi YAB cakap mana boleh RM53 juta saja, kita mahu lebih. Tahun ini di bawah kepimpinan YAB RM600 juta pemberian khas, siapa yang kena ‘pisit’, siapa yang selamatkan Sabah, siapa yang paling berani,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kempen Mega GRS Tamparuli di Tapak Tamu Pekan Tamparuli, di sini, pada Ahad.

Kempen dihadiri lebih 1,000 penyokong GRS itu turut disertai Ketua Menteri yang juga calon GRS DUN Sulaman dan calon GRS DUN Tamparuli, Dr Bonaventure Boniface.

‘Dipisit’ yang disebut Joniston merujuk kepada tuduhan parti lawan kononnya pemimpin GRS ‘dipicit’ yang bermaksud dikawal atau dipegang pemimpin Pusat.

Joniston berkata, hasil usaha Ketua Menteri juga Sabah berjaya memeterai perjanjian kerjasama komersial (CCA) dengan PETRONAS yang membolehkan kerajaan negeri mendapat hasil tinggi melalui sektor minyak dan gas yang terkini merekodkan hasil sebanyak RM5.1 bilion.

“Jadi siapa yang kena ‘picit’, jangan dengar itu, yang penting ialah ada kerjasama. Tapi walaupun kita bekerjasama, itu tidak bermakna kita tidak tegas, sebaliknya kita akan sentiasa tegas,” katanya.

Joniston turut mendedahkan ketegasan Hajiji tidak mahu menyerahkan kuasa kepada UMNO ketika kemelut politik pada Januari 2023 hingga memaksa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri datang bertemu Ketua Menteri di Sri Gaya. – Info X