Search

PRU Sabah: Perjuangan BN tidak pilih bangsa, agama, keturunan – Yakub

November 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memilih perjuangan untuk mana-mana bangsa, agama dan keturunan.

Calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan, berkata perkara itu membezakan BN dengan parti lain di Sabah.

Berikutan itu, beliau meminta pengundi termasuk anak muda supaya turun menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

“Hanya satu kerajaan yang tidak memilih, tidak memilih perjuangan agama, bangsa dan keturunan adalah Barisan Nasional.

“Anak-anak muda khususnya, dengar baik-baik pada 29 hari bulan ini, adalah penentu masa depan kamu, bukan kami.

“Kami yang sudah tua-tua ini sudah melalui, sudah menikmati, hasil perjuangan nenek moyang kita. Hasilnya kita sudah cuba.

“Tetapi bagaimana nasib anak-anak muda, bagaimana nasib anak cucu cicit kita ini? Adakah kita mampu mewariskan apa yang nenek moyang kita telah perjuangkan untuk anak cucu kita ini.

“Belum ada satu tandapun yang boleh menjamin masa depan mereka, kalau kerajaan selalu berganti di bumi kita ini,” katanya mengulas kerajaan yang layak memerintah Sabah selepas 29 November ini.

Sehubungan itu, katanya beliau secara peribadi dan sebagai calon, merayu kepada rakyat Sabah termasuk di DUN Karambunai supaya mengundi BN pada 29 November ini.

“Jangan fikir banyak, berilah undi tuan-tuan dan puan-puan kepada calon Barisan Nasional Nombor Satu (DUN Karambunai).

“Kalau kamu tidak keluar pergi mengundi, tiada makna kamu mengadu. Untuk menjadikannya realiti, pastikan kamu turun mengundi, pilihlah calon Nombor Satu,” katanya.

Yakub selaku penyandang kerusi DUN Karambunai berdepan saingan 11 penjuru pada PRU Sabah Ke-17 dengan antara pencabar utama ialah calon dari Warisan, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Info X