Search

PRU Sabah: Rekod pencapaian jadi taruhan, Ruslan yakin pertahan Lumadan

November 25, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, mempertaruhkan rekod pencapaiannya selama lima tahun untuk dinilai pengundi kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Beliau percaya seramai 22,165 pengundi di DUN Lumadan melihat perubahan yang berlaku di kawasan itu sepanjang beliau mewakili kawasan itu sejak 2020 dan mahu ia diteruskan lagi selepas ini.

Berikutan itu, katanya beliau yakin dapat mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket GRS pada 29 November ini setelah berjaya merampasnya dari tangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 2020.

“Kalau kita melihat suara rakyat kita yang benar-benar dahagakan kemajuan, saya yakin kita akan menang dan akan mengekalkan kerusi DUN Lumadan.

“Namun demikian harus juga kita melihat pesaing kita ini pun, ada enam pesaing hebat-hebat juga dan kalau kita lihat mereka juga mempunyai hujah-hujah yang kadang-kadang rakyat boleh terpengaruh.

“Tapi mereka, pesaing kita, mereka baru berhujah, baru menabur janji dan sebagainya, tapi kita bukan lagi berjanji, kita sudah menyelesaikan isu yang besar seperti isu air, isu liputan telekomunikasi dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemui, di sini.

Lima lawan Ruslan pada PRU Sabah Ke-17 ialah calon BN, Datuk Mohd Nazri Abdullah, Mohd Norizhuan Awang (Warisan), Abdul Jarih Okin (KDM), Amit Basrin (STAR) dan Jurinah Nasir (PIS).

Ruslan berkata, beliau juga memberi tumpuan terhadap isu banjir, membantu menyelesaikan masalah rumah daif dan warga miskin dan membina dewan terbuka di seluruh kawasan DUN Lumadan.

“Sebelum ini kita tidak ada dewan-dewan terbuka dibina kerajaan sebelum ini, tapi hari ini melalui kerajaan GRS, melalui kepimpinan kita di Lumadan, kita telah bangunkan 12 buah dewan terbuka yang mana dewan ini sudah diguna pakai terutama sekali anak-anak muda kita.

“Ini juga satu pembelaan kepada anak muda di Lumadan kerana mereka mempunyai tempat yang selesa untuk menjalankan aktiviti sukan dan lain-lain aktiviti dengan adanya dewan terbuka ini.

“Sebelum ini mereka tiada tempat, kalau adapun dulu hanya di padang sekolah tapi, tapi penggunaannya terhad dan aktiviti tidak dapat dijalankan pada waktu malam.

“Sebab itu kita bina 12 buah dewan supaya anak-anak muda ada tempat mereka main bola tampar, futsal, takraw, badminton dan banyak lagi aktiviti-aktiviti sukan yang boleh dilakukan di situ,” katanya.

Inisiatif itu katanya secara tidak langsung berjaya mengatasi isu anak muda yang suka lepak di sekitar kampung kerana mereka sudah mempunyai tempat yang selesa menjalankan aktiviti bagi mengisi masa lapang.

Selain itu, Ruslan berkata beliau turut memberi tumpuan terhadap pembangunan siasah menerusi aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di sekitar DUN Lumadan.

“Kita bukan saja membawa pembangunan di Lumadan ini dalam bentuk infra, tapi kita seimbangkan dengan pembangunan sahsiah.

“Kita imarahkan masjid dan surau, bukan pada bulan Ramadan saja, tapi kita ada satu program, iaitu ‘Mari solat Subuh’.

“Kita ada 30 buah masjid dan 42 surau, saya sebagai pemimpin mengajak masyarakat Islam di Lumadan solat subuh bersama di masjid dan surau sebagai satu cara mengimarah rumah ibadat kita dan meningkatkan syiar Islam,” katanya.

Katanya, rakyat Lumadan wajar memilihnya semula supaya usaha membangunkan kawasan itu yang dimulakannya sejak lima tahun lalu dapat diteruskan, termasuk menyiapkan pembinaan jalan simen di semua kampung yang ketika ini sudah mencapai 35 peratus berdasarkan peruntukan yang ada. – Info X