KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan meninggal dunia awal pagi ini.
Berita sedih itu dikongsikan sendiri anaknya, Naim Moktar di Facebook beliau yang menyatakan Ketua UMNO Sabah itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi tadi.
“Assalamualaikum. Dengan penuh dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami, Moktar bin Radin, telah menghembuskan nafas terakhir pada 05 Disember 2026, jam 1.46 pagi (14 Jamadilakhir 1447H).
“Mohon semua mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Difahamkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke Hospital Gleneagle, di sini, sejak pagi semalam.
Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar lewat petang semalam.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman turut melawat ADUN Lamag itu ketika menjalani rawatan malam tadi.
Bung Moktar mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang berakhir pada Sabtu lalu. – Info X