KOTA KINABALU: Jenazah Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin yang meninggal dunia di Hospital Gleneagle, di sini, awal pagi tadi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini, selepas solat Jumaat, hari ini.
Sebelum itu, orang ramai boleh menziarahi jenazah di kediamannya di Idang Residen, Luyang, dekat sini, bermula jam 8 pagi hingga 9.30 pagi.
Selepas itu, jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan itu akan dibawa ke Masjid Bandaraya untuk urusan memandikan jenazah pada jam 10 pagi sebelum disolatkan selepas solat Jumaat.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas untuk dikebumikan.
Allahyarham Bung Moktar dilaporkan meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi seperti dikongsikan anaknya, Naim Moktar di Facebook beliau.
Difahamkan Ahli Parlimen Kinabatangan itu menghadapi kegagalan buah pinggang, selain jangkitan paru-paru dan dimasukkan ke Hospital Gleneagle, di sini, sejak pagi semalam.
Selain ahli keluarga, pemimpin politik dan rakan kenalan beliau turut berada di hospital itu sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar lewat petang semalam.
Terdahulu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman turut melawat ADUN Lamag itu ketika menjalani rawatan malam tadi.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ketua UMNO Sabah mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 yang berakhir pada Sabtu lalu.
Jenazah Allahyarham bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu sudah dibawa pulang ke kediamannya di Luyang awal pagi ini. – Info X