Search

Lebih 1,000 umat Islam sertai solat jenazah Allahyarham Bung Moktar

December 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ribuan umat Islam menyertai solat jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Antara yang turut serta menyolatkan jenazah ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut menyertai solat jenazah ialah Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif serta pemimpin politik lain, kenalan dan ahli keluarga Allahyarham.

Jenazah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ketua UMNO Sabah itu selesai disembahyangkan dengan diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kuanting pada kira-kira jam 1.20 tengah hari, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, dekat sini untuk dikebumikan. – Info X