Search

40 peratus hasil Sabah tetap ditunai, kaedah dan parameter bayaran balik dibincang pada Januari – PM

December 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tetap komited menyerahkan kepada Sabah 40 peratus hasil yang dikutip dari negeri ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu sudah dimuktamadkan dan pasti akan dilaksanakan setelah proses yang berkaitan diselesaikan, khususnya berkaitan kaedah dan parameter pelaksanaan bayaran 40 peratus itu.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat pertama berhubung penyerahan tuntutan berkenaan yang dijangka diadakan pertengahan Januari depan.

Beliau berkata, mesyuarat awal di peringkat jawatankuasa teknikal sudah diadakan di antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah pada bulan lalu.

“Jadi mungkin mesyuarat pertama itu kita buat sebelum pertengahan Januari tahun depan mengenai kaedah, parameters dalam soal 40 peratus supaya betul-betul memberi keyakinan kepada rakyat Sabah, ini bukan soal cari dalil.

“Tapi saya nak beritahu, rakan-rakan saya dari Jemaah Menteri pun ada, bahawa kita harus lihat secara tertentu, saya tak boleh kata kita serah pada Januari, kita ‘clear parameter’ dulu, jumlahnya dan berapa peringkat pembayaran dalam setahun.

“Semua itu kita akan serahkan kepada jawatankuasa teknikal, kemudian jawatankuasa persekutuan-negeri sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri Sabah dan Jemaah Menteri Persekutuan.

“Tapi, apa yang sudah muktamad ialah bahawa kerajaan Persekutuan seperti mana yang saya sebut dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen tetap komited untuk menyerahkan 40 peratus hasil kepada negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick serta barisan Kabinet baharu negeri Sabah.

Anwar berkata, perbincangan berhubung soal 40 peratus itu tidak sempat diadakan pada bulan ini disebabkan kesuntukan masa, selain empat jawatan menteri Persekutuan masih kosong dan perlu diisi terlebih dahulu.

“Mungkin bulan ini agak suntuk sedikit kerana kita ada kekosongan empat (menteri) sekarang, paling akhir Ewon, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dengan tamat Senatornya dan dua daripada yang sebelumnya, jadi empat yang patut saya isi.

“Jadi beri ruang kepada saya satu ke dua minggu ini memikir dan berbincang dengan ketua-ketua parti termasuk dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji untuk mendengar pandangan mereka sebelum saya mukatamadkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, isu lain berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga akan terus dibincang dan dilaksanakan di bawah majlis sedia ada yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. – Info X