Search

PM lawat keluarga Allahyarham Bung Moktar

December 6, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan menziarahi keluarga Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sempena kunjungan singkatnya ke Sabah, pada Sabtu.

Anwar yang ditemani Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menziarahi keluarga arwah di Idang Residen, Luyang selepas menghadiri Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), petang tadi.

Dalam kunjungan itu, Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah serta mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian kehilangan orang tersayang.

Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham Bung Moktar dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

Terdahulu ketika memulakan ucapan pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Sabah, Anwar berkata beliau tidak dapat mengiringi jenazah arwah Bung Moktar semalam.

“Sebelum saya teruskan, kerana saya tidak dapat hadir semalam untuk mengiringi jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar, sahabat saya, saya nak lahirkan ucapan takziah dan berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan roh beliau diberi rahmat, diangkat sebagai para solehin dan memohon agar keluarganya bersabar menempuh ujian ini,” katanya. – Info X