KOTA KINABALU: Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin mencurahkan seluruh tenaga, masa dan kebijaksanaan demi memastikan kepentingan rakyat Sabah diangkat sama ada di peringkat negeri atau nasional.
Setiausaha Penerangan UMNO Sabah yang juga Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan, Rahia Arpaih, berkata legasi kepimpinan, keberanian dan ketegasan Ahli Parlimen Kinabatangan itu akan terus menjadi panduan perjuangan UMNO Sabah pada masa akan datang.
“Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin telah mencurahkan seluruh tenaga, masa dan kebijaksanaan demi memastikan kepentingan rakyat Sabah terus diangkat sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.
“Legasi kepimpinan, keberanian dan ketegasan beliau akan terus menjadi panduan perjuangan UMNO Sabah pada masa akan datang.
“Semoga segala sokongan dan kerjasama yang diberikan kepada Allahyarham sepanjang hayatnya menjadi amal jariah yang berkekalan. Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama, kepercayaan dokongan dokongan padu kepada Allahyarham Bung Moktar sepanjang perjalanan karier politik arwah.
“Secara khusus, saya merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media atas liputan profesional, penyampaian maklumat yang seimbang serta ruang yang diberikan kepada keluarga, parti dan rakyat untuk mengenang jasa kepimpinan Allahyarham.
“Sokongan dan keprihatinan pengamal media amat dihargai, terutama sepanjang tempoh sukar ini.
“Sokongan para pemimpin, ahli parti, jentera, sahabat media serta rakyat di seluruh pelosok negeri khususnya di kawasan Kinabatangan telah menjadi tulang belakang kepada perjuangan beliau dalam membangunkan UMNO Sabah dan memperjuangkan suara rakyat,” katanya.
Allahyarham Bung Moktar meninggal dunia pada awal pagi Jumaat lalu dipercayai akibat kegagalan buah pinggang ketika dirawat di Hospital Gleneagle Kota. Kinabalu, di sini.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, di sini, selepas solat Jumaat pada 5 Disember lalu.
Pemergian arwah yang juga Ketua UMNO Sabah dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berlaku selepas hampir seminggu berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 pada 29 November lalu. – Info X