Search

Serang jiran guna pisau, lelaki warga asing diberkas

December 15, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki cedera pada jari dan perut selepas diserang jiran menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah bilik sewa di kawasan bandar Tawau, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.42 petang itu, mangsa warga tempatan berusia 26 tahun dikatakan datang ke bilik sewa suspek.

Tindakannya itu bagi bertanya mengenai perbuatan suspek yang dipercayai sering mengganggu seorang wanita yang tinggal bersendirian di lokasi berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, sebaik pintu dibuka, suspek secara tiba-tiba mengacukan pisau sebelum menyerang mangsa.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada jari dan perut sebelum mendapatkan rawatan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek warga asing berusia lingkungan 20-an pada hari yang sama kira-kira jam 11.32 malam di kawasan bandar Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan jenayah kekerasan serta menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya segera membuat laporan sekiranya berdepan ancaman atau mengesan aktiviti mencurigakan. – Info X