Search

Padah ubah suai motosikal, mekanik warga asing ditahan

December 15, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Padah memiliki motosikal tanpa nombor pendaftaran dan diubah suai, seorang mekanik warga asing ditahan polis dalam operasi khas Op Lejang/Kesan Khas di Kampung Sungai Buaya, Batu 3, Jalan Apas, di sini, Sabtu lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, suspek berusia lingkungan 30-an ditahan ketika sedang membaiki sebuah motosikal jenis Honda EX5 di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pemeriksaan mendapati motosikal terbabit tidak mempamerkan nombor pendaftaran, manakala nombor enjin pula didapati telah diubah suai sehingga gagal dikenal pasti.

“Susulan itu, motosikal berkenaan dirampas bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan melanggar undang-undang.

Katanya, pihak polis akan terus mempergiat operasi serta pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi membanteras jenayah dan kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan awam di daerah ini. – Info X