Search

Superintendan Tan Hiap Wah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Semporna yang baru

December 15, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Superintenden Tan Hiap Wah dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Semporna yang baharu, hari ini.

Pelantikan itu dibuat pada Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, di sini.

Majlis turut disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Terdahulu, jawatan itu dipangku oleh Deputi Superintenden Jaafar Hakim.

Jauteh dalam ucapannya menekankan bahawa kepimpinan Ketua Polis Daerah (KPD) di peringkat daerah merupakan barisan hadapan dalam membentuk persepsi serta keyakinan masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, peranan KPD bukan sahaja tertumpu kepada aspek pentadbiran dan pengurusan pasukan, malah turut mencerminkan imej, integriti serta kredibiliti PDRM di mata masyarakat setempat.

“Kepimpinan KPD adalah penentu keyakinan rakyat terhadap pasukan. Oleh itu, kesinambungan kecemerlangan perlu diteruskan tanpa membandingkan gaya kepimpinan terdahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Jauteh merakamkan penghargaan kepada Jaafar atas sumbangan dan kecemerlangan sepanjang memangku jawatan KPD Semporna, khususnya dalam aspek pentadbiran, perancangan strategik, pemantauan operasi serta penyelarasan antara bahagian.

Beliau turut mengingatkan bahawa kepimpinan berkesan di peringkat daerah menuntut keupayaan mengendalikan kes berprofil tinggi serta isu keselamatan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Jauteh turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Daerah Semporna atas peranan aktif menjaga kebajikan keluarga warga PDRM serta memperkukuh sokongan sosial dalam pasukan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga IPD Semporna agar terus komited, ikhlas dan progresif dalam melaksanakan amanah, khususnya bagi memastikan keselamatan maritim, sektor pelancongan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini terus terpelihara. – Info X