Search

Sidang DUN: Lewat seminit saman RM30

December 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook mempersoalkan kadar saman letak kereta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang disifatkan terlalu tinggi.

Wakil rakyat Warisan itu mendakwa jika terlewat seminitpun, denda RM30 tetap dikenakan terhadap pengguna kenderaan.

“Kadar Saman meletak kenderaan di kawasan bandar raya oleh DBKK adalah begitu tinggi. Pengguna terlewat satu minit saja sudah dikenakan saman sebanyak RM30.

“Kadar saman ini adalah terlalu tinggi, tidak adakah rancangan untuk mengkaji semula kadar saman ini oleh DBKK,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata kadar saman yang terlalu tinggi itu juga menjadi salah satu punca kemarahan pengundi di kawasan bandar raya Kota Kinabalu.

Terdahulu, Tham mahu menarik perhatian DBKK dan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mengenai masalah tikus yang berleluasa di kedai Segama.

“Sudah banyak peniaga dikenakan saman, menutup premis perniagaan beberapa hari kerana didapati ada tikus dalam kedai.

“Bayangkan berapa besar kerugian kepada peniaga restoran yang diarah tutup akibat tikus sedangkan tikus-tikus yang berkeliaran ini datangnya dari luar akibat sampah-sarap yang tidak dijaga dan diselenggara dengan baik.

“Adakah kita mahu menunggu semua restoran di kawasan kedai Segama, Gaya Street dan sekitarnya ini semuanya ditutup akibat tikus-tikus yang bermaharajalela ini barulah kita
mahu ambil tindakan sewajarnya sedangkan kawasan ini adalah tumpuan pelancong luar negara,” katanya.

Berikutan itu, beliau memohon pencerahan mengenai rancangan kerajaan, khususnya DBKK atau Kementerian Kesihatan berhubung masalah tikus yang banyak di kawasan bangunan Kedai Segama dan sekitarnya.

“Saya memohon supaya Menteri atau Pembantu Menteri yang berkaitan dapat datang memantau kawasan ini secara berkala bersama saya, bukan hanya pergi ke mall yang besar-besar saja,” katanya. – Info X