Search

Video tular belasah kanak-kanak, lelaki ditahan, polis jalan siasatan

December 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta penderaan kanak-kanak susulan penularan satu rakaman video di media sosial, membabitkan kejadian di sebuah premis perniagaan di sekitar bandar raya ini.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 11.55 malam, 14 Disember lalu, membabitkan sekumpulan pelajar sebuah madrasah dan seorang lelaki dewasa berusia linglungan 30 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta peranan individu terlibat berdasarkan rakaman video yang tular.

Sehubungan itu, katanya orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta diminta menghormati privasi semua pihak terbabit.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 30 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki bertindak memukul beberapa remaja di sebuah premis, termasuk menggunakan topi keledar.

Malah, lelaki berkenaan turut menampar, memukul dan menendang mangsa, sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai. – Info X