KOTA KINABALU: Kerajaan negeri disaran membina Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bertingkat bagi mengatasi keterbatasan tapak tanah di kawasan separa bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi (GRS), berkata tapak tanah menjadi masalah utama untuk melaksanakan inisiatif itu di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau menyambut baik pengumuman Belanjawan 2026 yang meningkatkan kuota Rumah Mesra SMJ daripada 20 kepada 40 dan kini 50 bagi setiap kawasan DUN, namun realitinya pelaksanaannya menuntut pendekatan yang lebih strategik.
“Penambahan ini turut memberi kelegaan besar kepada golongan belia, khususnya pasangan muda yang masih belum mampu memiliki rumah sendiri.
“Namun, realiti di kawasan separa bandar seperti Sepanggar menuntut pendekatan yang lebih strategik. Isu utama bukan sekadar bilangan unit tetapi keterbatasan tapak tanah akibat kepadatan penduduk yang semakin meningkat.
“Sebagai contoh, satu tapak tanah yang sebelum ini hanya mampu menempatkan sekitar 20 unit rumah setingkat, berpotensi menempatkan dua kali ganda jumlah Rumah Mesra SMJ sekiranya dibangunkan dalam bentuk Runah Mesra SMJ Bertingkat.
“Ini bukan saja lebih cekap dari
segi guna tanah, malah mampu memberikan lebih banyak rumah kepada orang-orang sabah.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan pendekatan Rumah Mesra SMJ Bertingkat khusus untuk kawasan separa bandar, sebagai sebahagian daripada dasar perumahan mampan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahasa Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan DUN Sabah, di sini, pada Selasa.
Dalam masa yang sama, beliau juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri menjalankan kajian menyeluruh berkaitan Rumah Mesra SMJ Atas Air bagi komuniti penempatan atas air, supaya reka bentuk perumahan dapat disesuaikan dengan realiti setempat dan keperluan sebenar rakyat.
“Pendek kata, pendekatan ini membolehkan lebih ramai keluarga dibantu tanpa menambah keluasan tanah, sekali gus menjadikan pelaksanaan Rumah Mesra SMJ lebih inklusif dan praktikal,” katanya. – Info X