LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu mengeluarkan 20 saman dan menyita lima kenderaan dalam Operasi Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan dari jam 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata operasi itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, operasi melibatkan 12 pegawai dan anggota dari pelbagai bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, dengan tumpuan di beberapa lokasi panas sekitar bandar.
“Antara kawasan operasi ialah Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana dan Jalan Pan Borneo,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi, ubah suai ekzos serta ubah suai struktur peralatan.
“Polis turut menyita sebuah motokar dan empat motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam operasi sama, katanya, seramai 18 individu dan 14 kenderaan diperiksa, manakala empat sesi advokasi keselamatan jalan raya turut dijalankan bagi meningkatkan kesedaran pengguna.
Dzulbaharin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan kerana perbuatan itu boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara konsisten demi keselamatan bersama,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan kepada pihak berkuasa. – Info X