PENAMPANG: Naib Presiden Upko Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya semua blok politik di Sabah sama ada yang sedia ada atau yang baharu harus diterajui oleh parti tempatan.
Katanya, negara ini yang ditubuhkan menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mencakupi aspirasi dan semangat kenegerian semasa pembentukan yang harus dikekalkan hari ini bagi menjayakan proses desentralisasi pentadbiran persekutuan.
“Kita di Upko mengalu-alukan sebarang pembentukan blok politik di Sabah samada yang sedia ada ataupun yang baharu. Tetapi saya berpendapat semua blok politik ini harus diterajui oleh parti lokal. Ini termasuklah Pakatan Harapan (PH) Sabah,” katanya.
Ewon berkata, PH Sabah mesti dilihat mempunyai autonomi pembuatan keputusan dan kepimpinan yang diterajui oleh parti lokal sesuai dengan semangat MA63.
“Keputusan memfailkan saman ke atas Kerajaan Persekutuan pada 3 Jun oleh kesemua Ahli Parlimen dan ADUN PH Sabah merupakan satu keputusan dibuat oleh majlis pimpinan Sabah tanpa perlu merujuk kepada majlis presiden PH kerana hal-hal berkaitan hak-hak Sabah mesti diputuskan di Sabah oleh pemimpin-pemimpin Sabah. Ini menunjukkan PH Sabah mempunyai autonomi membuat keputusan sendiri.
“Untuk PH Sabah bersaing lebih baik dengan blok politik lain, ia mesti menjiwai sentimen dan semangat kenegerian seperti semasa pembentukan negara ini melalui Perjanjian Malaysia. Justeru, wajar untuk PH Sabah diketuai atau diterajui oleh parti lokal. Inilah pandangan saya dan selagi saya menjadi sebahagian daripada kepimpinan Upko, ini akan terus menjadi pandangan yang saya akan berikan kepada rakan-rakan dalam blok-blok politik,” katanya.
Menurut beliau juga, belum ada blok politik lokal tulen di Sabah kerana penyertaan dan dominasi parti-parti beribupejabat di Semenanjung dalam blok-blok politik yang ada termasuklah blok Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga didominasi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat agung tritahunan Upko Penampang di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Ewon mencadangkan agar blok PH Sabah diterajui oleh parti lokal.
“Saya melihat Upko boleh menerajui pimpinan blok PH Sabah di beberapa kawasan seperti Penampang. Begitu juga dengan peringkat negeri. Bagaimanapun, ianya perlu diperhalusi dan dibincangkan di peringkat pimpinan PH Sabah terutama menjelang pilihanraya negeri akan datang,” katanya. – Info X