KOTA KINABALU: Calon bebas kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) lalu, Mohd Ismail Ayob diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Lamag pada 24 Januari depan.
Nama beliau diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin pada Majlis Bersama Media di Bangunan UMNO Sabah, di sini, pada Selasa.
Jafry berkata pemilihan Ismail mengambil kira PRN17 yang baru saja berakhir yang mendorong pihaknya memilih untuk mengambil calon perpaduan bagi menentukan calon PRK DUN Lamag.
Pendekatan itu, katanya selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.
“Berteraskan pertimbangan itu, BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) Barisan Nasional.
“Pencalonan ini adalah strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama yang lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik,” katanya.

Beliau berkata, BN Sabah berpandangan pengukuhan kedudukan parti di Kinabatangan bukan sekadar soal persaingan pilihan raya, sebaliknya satu keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, ia selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kemakmuran, kerjasama dan tadbir urus berasaskan konsensus.
“Sehubungan itu, BN Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas panduan dalam memperkukuh usaha kerjasama politik dan kestabilan negara.
“Penghargaan yang sama turut dizahirkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas komitmen berterusan dalam memastikan keharmonian politik serta kelangsungan pentadbiran negeri,” katanya.
Jafry yang juga Menteti Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, BN Sabah menghormati kepelbagaian pandangan yang dizahirkan semua pihak dan berpendirian perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi.
“Namun, ia mesti diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat dan kestabilan negeri.
“BN Sabah merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera akar umbi atas komitmen, disiplin dan semangat kebersamaan dalam memastikan keharmonian sosial serta kemajuan Sabah terus terpelihara,” katanya.
Pada majlis yang sama, Jafry turut mengumumkan semula pencalonan Mohd Naim Kurniawan Moktar yang sebelum ini diumumkan Ahmad Zahid sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Kinabatangan.
“Dalam landskap politik yang semakin mencabar dan dipengaruhi oleh perubahan sentimen dan pengaruh melalui segmen yang pelbagai, khususnya dalam kalangan pengundi muda, BN Sabah berpandangan bahawa keperluan memperkukuh kepimpinan pelapis serta membina naratif politik yang inklusif dan menyatukan adalah penting bagi memastikan kelangsungan perjuangan BN yang stabil dan relevan.
“Dalam konteks ini, BN Sabah melihat Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar sebagai pemimpin muda yang memenuhi keperluan kepimpinan masa hadapan melalui legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi serta keupayaan menterjemahkan aspirasi rakyat di peringkat lapangan,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Ends