Search

‘Runner’ dadah ditahan, syabu lebih 1kg dirampas di Tawau

January 3, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang ‘runner’ dadah warga asing dan merampas lebih satu kilogram syabu dalam satu operasi khas di hadapan sebuah pusat penyimpanan sejuk beku di Jalan Chong Thien Vun, di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.15 malam ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Tawau menjalankan pemantauan hampir 15 minit sebelum menahan kenderaan terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik hitam mengandungi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1,009.47 gram.

“Nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan sekitar RM35,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Jasmin, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai penghantar dadah dan mengaku berperanan sebagai ‘runner’ untuk membawa bekalan itu ke negara jiran.

“Suspek mengaku menerima upah puluhan juta rupiah bagi setiap penghantaran dadah,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah telefon bimbit, kunci kenderaan serta beberapa barang kemas yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.

“Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Risikan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah yang dipercayai aktif di daerah ini,” katanya. – Info X