Search

POLIS SERBU PUSAT HIBURAN TANPA LESEN DI KENINGAU

June 13, 2022

admin

KENINGAU: Polis Keningau menahan seorang wanita yang juga penjaga sebuah premis hiburan di pekan Keningau selepas didapati beroperasi tanpa lesen, semalam.

Dalam operasi jam 2.20 pagi itu, seramai 107 pengunjung pusat hiburan sama turut diperiksa namun tiada sebarang penahanan dibuat selepas didapati tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Polis Nor Rafidah Kasim berkata, pusat hiburan berkenaan didapati masih memainkan muzik dengan kuat dan pelanggan juga sedang minum minuman keras di dalam premis semasa serbuan dijalankan.

“Secara keseluruhan seramai 107 pengunjung dan pekerja diperiksa membabitkan pecahan 80 lelaki dan 27 wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

“Pemeriksaan kemudiannya dijalankan terhadap premis sebelum mendapati, pusat hiburan berkenaan beroperasi tanpa lesen,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nor Rafidah berkata, seorang wanita tempatan berusia 20-an yang mengaku sebagai penjaga premis kemudiannya ditahan untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, siasatan dijalankan berikutan operasi premis tanpa lesen yang sah dan siasatan dijalankan mengikut Ordinan Hiburan Awam.

“Beberapa peralatan muzik turut dirampas dan tangkapan terus dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Nor Rafidah menasihati orang ramai serta premis-premis hiburan supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – Info X