Search

Rokok seludup dirampas, suspek guna feri ke Pulau Banggi

January 13, 2026

Info X Reporters

KUDAT: Cubaan menyeludup rokok tidak bercukai menggunakan perkhidmatan feri ke Pulau Banggi gagal apabila dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat, di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan berhubung pergerakan rokok seludup di perairan Kudat yang menggunakan laluan feri awam ke Pulau Banggi.

“Bertindak atas risikan itu, sebuah bot rondaan APMM digerakkan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas feri terbabit, sekali gus membawa kepada penahanan seorang lelaki yang disyaki cuba membawa keluar rokok seludup tanpa cukai.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan enam kotak berisi rokok seludup dengan nilai anggaran keseluruhan kira-kira RM6,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana memiliki dan membawa rokok yang disyaki tidak bercukai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata APMM menegaskan komitmen untuk terus membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim di perairan negara.

“Orang awam digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan dengan menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X