KOTA KINABALU: Penjawat awam negeri perlu mengubah ‘mindset’ mereka supaya dapat memberikan perkhidmatan berkualiti seterusnya menaikkan imej kerajaan.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, perkhidmatan awam juga perlu tampil dengan idea-idea lebih bernas dan berani serta agresif dalam membuat penambahbaikan demi memastikan Sabah terus maju jaya.
Katanya, ia sejajar dengan matlamat kerajaan yang memberi tumpuan
kepada usaha mewujudkan negeri yang mesra pelabur bagi menarik pelaburan asing
untuk datang ke negeri ini.
“Kita mahu membawa lebih banyak pelabur datang dan memastikan urusan pelaburan itu dipermudahkan, sistem penyampaian perkhidmatan awam juga perlu dipertingkatkan.
Langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa
terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus dapat meningkatkan kemajuan ekonomi
negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah (ISAS) 2021 dan melancarkan buku panduan Anugerah Inovasi Sektor Awam
Sabah di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Setiausaha
Kerajaan Persekutuan juga perlu aktif berbincang dan membuat kolaborasi strategik bagi menjadikan 2022 sebagai lonjakan perubahan di negeri ini.
Katanya, Sabah harus setanding atau menjadi contoh tauladan yang positif kepada
perkhidmatan awam negeri lain.
“Semua Ketua Jabatan Negeri atau Persekutuan mesti
menjadi contoh utama dalam perubahan ‘mindset’ anggota perkhidmatan awam.
“Ketua Jabatan memainkan peranan yang amat signifikan dalam menerajui hala tuju inovasi agensi yang diterajui,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan menjadikan inovasi sebagai salah satu agenda utama dalam memperkasakan sektor awam Sabah.
Katanya, perkhidmatan awam adalah tunjang
pembangunan negeri dan menjadi penggerak utama dalam intipati pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 melalui modal insan dan kesejahteraan
rakyat. – Info X