TAWAU: Tindakan dua lelaki disyaki aktif melakukan kegiatan pecah rumah berakhir apabila mereka ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Chung Hwa Batu 5, Jalan Apas, di sini, semalam.
Serbuan berkenaan dijalankan sepasukan polis dari Balai Polis Tawau selepas menerima maklumat awam berhubung aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.
Dalam operasi itu, dua lelaki warga asing berusia antara 36 hingga 46 tahun ditahan selepas pemeriksaan dilakukan di dalam rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah.
Menurutnya, barangan berkenaan termasuk sebuah tong gas, satu unit pembesar suara, sebuah gergaji rantai, satu pasport milik seorang wanita serta satu plastik berisi pelbagai jenis barang perhiasan tradisional.
Beliau berkata, semua suspek bersama barangan rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – Info X