Search

Lelaki maut disyaki terjatuh dari bangunan bertingkat

January 14, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu mengesahkan menerima satu laporan berhubung seorang lelaki yang disyaki terjatuh dari sebuah bangunan bertingkat di Lido Four Seasons, Lintas Jaya, Penampang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 malam dan melibatkan seorang lelaki yang disahkan maut di lokasi kejadian.

“Mangsa disyaki warga tempatan namun identiti sebenar masih belum dikenal pasti setakat ini.

“Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat, mengenali mangsa atau merupakan ahli keluarga diminta hadir ke balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Ketua Polis Balai Tanjung Aru, Sub Inspektor Razmi Omar di talian 0139802326.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan. – Info X