KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad mengumumkan bakal bertanding bagi jawatan Yang Di-Pertua (YDP) persatuan itu bagi sesi 2022-2024.
Sapawi yang juga Ketua USIA Bahagian Sipitang berkata, beliau menyatakan pendirian itu selepas mendapat pencalonan daripada bahagian-bahagian yang berpendapat dirinya layak bertanding untuk menerajui kepimpinan USIA bersama rakan-rakan lain yang tercalon.
“Kita sedia maklum USIA adalah badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang terawal di Sabah dan mempunyai rekod yang cemerlang dalam bidang dakwah semasa awal penubuhannya.
“Oleh itu, saya berazam untuk mengembalikan kegemilangan USIA khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan.
“Selain meningkatkan imej USIA, saya juga mahu mempelbagaikan lagi aktiviti dakwah anjuran USIA serta mengukuhkan pengurusan organisasi aset dan kewangan,” katanya ketika sidang media khas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sapawi berharap semua perwakilan bijak memilih barisan hadapan kepimpinan baharu yang sehaluan dengan kerajaan negeri serta persekutuan untuk memudahkan usaha melaksanakan visi serta misi selain gerak kerja USIA. – Info X